Entry: komen Carriekirana Mar 22, 2006



Bukan Cinta Biasa - Izzul Izzati



"Meskipun tanpa lafaz cinta dan sayang....dirimu tetap bersemadi di lipatan hati selamanya .."


Bukan Cinta Biasa, tajuk novel yang diambil dari lagu kegemaran saya ini diwar-warkan sebagai salah satu novel popular untuk tahun ini. Bukan Cinta Biasa sebenarnya memaparkan sebuah kisah cinta "biasa" di kampus. Dalam kisah Bukan Cinta Biasa, Shahira digambarkan wataknya sebagai seorang gadis yang memiliki daya tarikan yang kuat di kalangan pelajar lelaki di kampus. Disebabkan personaliti menariknya, Shahira menjadi gilaan ramai jejaka di kampus dan pada masa yang sama, dia juga terpaksa berhadapan dengan tohmahan dan fitnah kaum sejenisnya.

Shahira menjalin persahabatan yang erat dengan Anuar, kawan semenjak di sekolah berasrama penuh beserta Diana dan Rafizi. Empat sekawan sejak di MRSM ini semakin rapat ketika mereka melanjutkan pelajaran di universiti yang sama. Anuar, Diana dan Rafizi banyak memainkan peranan dalam menggerakkan plot cerita Bukan Cinta Biasa. Bibit-bibit pertemuan di antara Shahira dan Azlisyam bermula dalam keadaan yang tidak menyenangkan. Pada masa yang sama juga, Nizam dan En. Iskandar juga mencuba nasib untuk menagih sekeping hati Shahira.

Kekuatan novel ini terletak kepada gaya penulisan Izzul Izzati yang bersahaja dan mencuit hati. Watak-watak yang dibangunkan dalam novel ini hampir realistik , mempunyai kekurangan seperti manusia biasa dalam dunia realiti dan tidak hanya bergantung kepada acuan "terlalu sempurna " yang dibentuk dari imaginasi penulis. Walaupun ini merupakan hasil sulung Izzul Izzati, tapi tulisannya mampu menarik saya menyelami isi hati Shahira. Izzul mempunyai resipinya tersendiri untuk menarik pembaca supaya terus mengikuti kesudahan kisah  "bukan cinta biasa". Kematangan fikirannya dalam mengolah cerita ini terserlah walaupun bahasa yang digunakan ringkas. Plotnya juga kukuh dan memudahkan pembaca mengikuti setiap insiden yang berlaku.

Pada pandangan peribadi saya, Bukan Cinta Biasa ini lebih mencoretkan kisah cinta Anuar yang tidak bertepi terhadap Shahira. Sedikit sebanyak saya rasa terusik juga dengan ketulusan cinta Anuar yang melangkaui garisan persahabatan yang dibina sekian lama. Saya rasa, inilah intipati cerita " bukan cinta biasa" ini.

Namun, beberapa kesilapan "typo" dan suntingan yang kurang kemas di beberapa bahagian ini agak menyakitkan mata saya juga meskipun tidak mencacatkan mood saya untuk menghabiskan Bukan Cinta Biasa. Penerbit-penerbit novel yang baru tumbuh seperti cendawan sejak kebelakangan ini harus belajar lebih banyak dari Creative Enterprise dan Alaf 21 dalam memastikan novel-novel keluaran mereka tidak mengandungi kesilapan ejaan dan sebagainya. Kualiti sesebuah novel bukan hanya terletak pada kreativiti penulis, plot cerita tapi juga suntingan yang kemas dan bebas dari sebarang kesilapan.

Izzul Izzati mempunyai potensi besar untuk bergerak jauh dalam bidang penulisan kreatif, jika dia mengekalkan sentuhannya yang mampu membuatkan sebuah kisah cinta biasa menjadi sebuah kisah cinta yang "bukan biasa". Saya puas hati dengan novel ini. Ada kelainan.

Rating: ***1/2 ( Best - Berbaloi dijadikan koleksi peribadi)


"Mengapa mesti merindu sedangkan dia sedang berbahagia? Mengapa mesti mengingati sedangkan dia telah dilontar jauh dari ingatan?"

"Menerima orang yang benar-benar mencintai diri kita mungkin akan membuahkan perasaan bahagia.."

Posted at 04:27 pm by carriekirana

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments